Konsert Empat gabung bakat dua generasi - Utusan Malaysia

Konsert Empat gabung bakat dua generasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meletakkan empat orang bintang popular dalam sebuah persembahan pentas pastinya mengujakan, tambahan pula jika setiap daripada mereka pernah mengukir nama di era yang berbeza.

Ironinya, masing-masing dilihat punya peminat tersendiri serta masih relevan dengan karya-karya hebat yang masih diperdengarkan sehingga hari ini.

Idea menggabungkan mereka di atas sebuah pentas, dilihat satu idea menarik apatah lagi kesemua mereka mempunyai ikatan kekeluargaan rapat, malah punyai peminat melalui generasi masing-masing.

Empat bintang tanah air, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel akan bergabung buat pertama kalinya dalam konsert mega Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2025 ini.

Acara ini disifatkan sebagai ‘konsert keluarga’ pertama di Malaysia, menggabungkan bakat dari dua generasi dalam satu persembahan yang bakal mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan negara.

Penganjur konsert, Anuar Zain Network dan Altus ProHouse bakal menjanjikan sebuah persembahan penuh emosi dengan magis tersendiri, di bawah arahan Jennifer Thompson dan konduktor muzik Sze Wan.

Menurut Anuar, konsert ini bakal meraikan cinta, kasih sayang dan bakat daripada keluarga mereka. Projek ini sebenarnya telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun hanya kini berjaya direalisasikan berikutan jadual padat semua individu yang terlibat.

“Perancangan sudah lama, namun tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana masing-masing punya komitmen berikutan jadual persembahan yang padat sebelum ini.”

“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat satu tarikh yang benar-benar sesuai untuk dilaksanakan dan pastinya kini kami bersama-sama bekerja keras untuk merealisasikan sebuah persembahan yang hebat untuk dipersembahkan kepada penonton nanti,” ujarnya.

Menurut Ziana pula, idea membariskan empat orang penyanyi dalam sebuah konsert seperti ini pastinya memberi sedikit kelainan terutamanya dalam menghimpunkan peminat dalam dua era yang berbeza.

Bukan ingin mencari siapa yang terbaik atau sebaliknya, tetapi ini adalah ruang bagi peminat mencipta momen indah dalam sebuah persembahan yang bakal mencipta nostalgia dan sejarah tersendiri.

“Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi akan sentiasa memberi dukungan kepada industri muzik tempatan.

“Setiap daripada kami pernah mencipta nama dalam era masing-masing, malah lagu-lagu tersebut masih kekal relevan dan diminati sehingga ke hari ini, jadi pastinya persembahan pada malam itu akan sarat dengan keunikan, momen indah untuk pelbagai generasi,” ujarnya.

Pasangan suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel turut meluahkan rasa teruja dan menganggap peluang ini sebagai impian yang menjadi kenyataan, apatah lagi dapat berkongsi pentas dengan ahli keluarga sendiri.

Bagi mereka persembahan ini merupakan satu detik berharga yang bakal meninggalkan satu sejarah dalam industri muzik negara kerana bukan mudah untuk merelisasikan impian untuk berkongsi pentas bersama penghibur ternama seperti Anuar dan Ziana.

“Saya sendiri tidak sabar untuk bertemu peminat pada hari konsert nanti. Insya-Allah kami akan cuba berikan yang terbaik buat peminat yang hadir agar persembahan ini mampu memberi momen indah untuk disimpandalam lipatan sejarah peminat,” ujarnya.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 25 April 2025 melalui laman web Ticket2U dengan harga bermula RM288 hingga RM2,088. Peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal kerana konsert ini dijangka mencipta sejarah dalam industri muzik Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN