Komposer, penyanyi ada hak, bincang dengan baik semua akan mudah - M Nasir - Utusan Malaysia

Komposer, penyanyi ada hak, bincang dengan baik semua akan mudah – M Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir tampil memberikan buah pendapatnya berkenaan kemelut antara pasangan pencipta lagu, Man Senoi dan Mama Rap bersama kumpulan 4U2C susulan penganjuran konsert WE 4U2C Live in Concert.

Menurut M Nasir, jalan penyelesaian terbaik untuk meleraikan isu tersebut adalah pencipta lagu dan 4U2C perlu bersemuka dan berbincang dengan baik.

“Jika kedua-dua belah pihak berbincang dan berunding dengan baik segalanya akan menjadi mudah. Apa yang saya boleh katakan, biar mereka berbincang dahulu,” katanya.

M Nasir berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Datuk M Nasir Cipta 3 di Hard Rock Cafe, pada Isnin.

Tambah komposer prolifik itu, pencipta lagu dan penyanyi juga mempunyai hak masing-masing namun, perundingan tetap perlu dijalankan demi kebaikan kedua-dua pihak.

“Berkaitan dengan isu ini, setiap pihak ada hal masing-masing. Pencipta lagu ada hak yang kuat terhadap lagu-lagunya dan yang menyanyikan pun ada hak.

“Penganjur hanya menganjurkan konsert sahaja, mereka tiada kuasa ke atas lagu-lagu tersebut. Tetapi, jika penyanyi mahu menggunakan lagu itu untuk konsert nanti, mereka perlu berunding dengan pencipta lagu.

“Atau bayar melalui Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), yang penting dia bayar. Tapi pencipta lagu juga ada hak jika mereka tidak bagi mainkan lagu-lagu tersebut,” katanya.

Terdahulu, Man Senoi dan Mama Rap mendakwa bahawa mereka tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert 4U2C yang dijadualkan berlangsung pada 15 September ini.

Menerusi sebuah laporan akhbar, pasangan itu turut mempersoalkan bagaimana kumpulan yang ditubuhkan oleh mereka tersebut mahu mengadakan konsert memandangkan rata-rata lagunya adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.

Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event akan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN