KUALA NERUS: Kesedaran dalam kalangan rakyat Terengganu terhadap kepentingan menderma darah menunjukkan perkembangan positif apabila kutipan sepanjang tahun 2024 mencecah 26,449 beg, iaitu peningkatan sebanyak 6.9 peratus berbanding tahun 2023.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 21,459 beg dikutip oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala 4,990 beg lagi oleh Hospital Kemaman.
“Sehingga Jun tahun ini sahaja, kutipan darah mencecah 13,000 beg, satu angka yang sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui pada program Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri Terengganu di Raia Hotel, di sini.
Majlis sambutan itu juga mencatat sejarah tersendiri apabila sebanyak 249 beg darah dikumpul dalam tempoh kurang 24 jam, hasil pelaksanaan kempen derma darah yang buat julung kalinya dijalankan hingga ke waktu malam.
Katanya, peningkatan ketara itu membuktikan wujudnya komitmen tinggi masyarakat terhadap usaha kemanusiaan serta kerjasama kukuh antara perkhidmatan Perubatan Transfusi dan penganjur kempen derma darah.
“Penderma kini semakin faham bahawa satu beg darah boleh menyelamatkan tiga nyawa. Secara tidak langsung, lebih 30,000 pesakit di seluruh Terengganu telah menerima manfaat hasil kutipan darah tahun lalu,” katanya. – UTUSAN