SEPANG: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk didakwa atas penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pertuduhan dibacakan hari ini terhadap lelaki berusia 61 tahun itu memandangkan dia kelihatan berdepan masalah kesihatan dan pendengaran.
Terdahulu, tertuduh tidak memberi sebarang reaksi apabila namanya disebut oleh jurubahasa mahkamah ketika berada di kandang tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab kemudian menjelaskan kepada mahkamah bahawa tertuduh mempunyai masalah mental tidak stabil sebagaimana dimaklumkan ahli keluarga lelaki itu.
Fadhli kemudian meminta izin kepada mahkamah supaya diberi tempoh sebulan untuk sebutan semula kes kerana mahu membawa tertuduh ke hospital untuk penilaian mental.
Hakim Ahmad Fuad Othman kemudiannya membenarkan lelaki berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani penilaian psikiatri dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Ogos depan.
Sepatutnya, tertuduh yang juga pengganggur dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Sepang telah mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu pada 20 Jun lalu kerana gagal hadir ke mahkamah.
Lelaki yang berasal dari Johor itu tiba di Kompleks Mahkamah Sepang diiringi pegawai MCMC.
Ketika dirakam lensa kamera, lelaki itu kelihatan tenang, sentiasa senyum dan sempat menunjukkan tanda isyarat bagus kepada jurugambar yang merakam gambarnya. – UTUSAN