PETALING JAYA: Kuala Lumpur menyambut baik isyarat positif dan kesediaan ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan gencatan senjara ekoran konflik antara kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau selaku Pengerusi ASEAN merayu kepada pemimpin Thailand dan Kemboja agar segera melaksanakan gencatan senjata demi mengelakkan konflik lebih buruk serta membuka ruang dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
“Saya menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan perkara ini.
“Malaysia bersedia untuk membantu dan memudahkan proses ini atas semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.
“Saya amat yakin bahawa kekuatan ASEAN terletak pada solidaritinya dan keamanan mesti sentiasa menjadi pilihan kolektif kita yang tidak berbelah-bahagi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Dalam perbualan tersebut, Anwar atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata.
Ia bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
Sebelum ini media melaporkan, ketegangan antara Bangkok dan Phom Penh kembali memuncak selepas tentera Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran askar Kemboja pada hari ini.
Insiden pertempuran terbaharu itu tercetus selepas Phnom Penh didakwa menembak roket dan artileri hingga meragut nyawa orang awam selain beberapa termasuk kanak-kanak dilaporkan cedera.-UTUSAN