KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakar sejarah apabila menjenamakan semula aplikasi Integrated Ticketing System (KITS) kepada SuperApp KITS Style dalam usaha memperkukuh ekosistem pengangkutan negara yang lebih cekap, selamat, mampan dan berdaya saing.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, KITS Style bukan sekadar sebuah platform pembelian tiket, malah merupakan satu sistem Mobility-as-a-Service (MaaS) yang menyatukan pelbagai aspek kehidupan harian pengguna menerusi satu aplikasi pintar dan mesra pengguna.
“Melalui KITS Style, pengguna bukan sahaja boleh membeli tiket ETS, KTM Komuter dan Shuttle Tebrau, malah turut boleh menempah tiket penerbangan dan hotel.
“Ia juga boleh digunakan untuk membayar bil utiliti, memperbaharui insurans kenderaan, melakukan penghantaran wang, berbelanja atas talian serta merancang perjalanan dengan fungsi KITS AI Journey Planner,” katanya.
Aplikasi ini dibangunkan hasil kerjasama strategik antara KTMB dan ManagePay Systems Berhad (MPay) tanpa sebarang kos ditanggung oleh pihak kerajaan atau KTMB.
Konsep kerjasama pintar ini, jelas Anthony, wajar dijadikan contoh oleh agensi lain dalam merealisasikan projek digital yang kompleks dengan keberhasilan maksimum buat rakyat.
“Ini satu contoh terbaik bagaimana agensi kerajaan boleh memanfaatkan kepakaran sektor swasta untuk melaksanakan projek besar tanpa bergantung kepada dana awam,” ujarnya lagi.
Dalam usaha memperluas fungsi aplikasi itu, KTMB turut mengumumkan pelancaran Kad Prabayar KITS Style Mastercard, hasil kerjasama dengan MPay dan Mastercard.
Kad prabayar ini bakal menjadi kad transit gelung terbuka pertama seumpamanya di Malaysia dan ASEAN yang diterbitkan oleh pengendali rel.
Kad ini boleh didapati dalam versi maya melalui aplikasi KITS Style, manakala versi fizikalnya dijangka mula diperkenalkan pada bulan September ini.
“Dengan kad ini, pengguna bukan sahaja dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam dalam negara, tetapi juga merentas sempadan ASEAN dengan lebih mudah dan selamat,” jelasnya.
Untuk rekod, KITS mula diperkenalkan pada 17 Ogos 2020 sebagai sistem pembelian tiket atas talian KTMB. Kini, dengan penjenamaan semula kepada KITS Style, ia bukan sahaja memperluas fungsi asasnya malah menjadi satu ekosistem digital moden yang menyatukan mobiliti dan keperluan harian rakyat dalam satu platform serba lengkap.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah berani dan progresif dalam usaha kerajaan meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam negara, seiring dengan kehendak zaman serta aspirasi rakyat Malaysia yang semakin celik digital.