PETALING JAYA: Dr. Khairul Nizam Othman kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB) yang baharu berkuat kuasa semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Khairul Nizam sebelum ini merupakan Pengarah (Perancangan Pembangunan dan Ekonomi) PKB.
Kata beliau, pelantikan Khairul Nizam dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 27(1) dan 27(2), Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733).
“Khairul berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pembangunan Hartanah dan Alam Sekitar dari Universiti Malaya serta berpengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancang bandar dan pengurusan tanah.
“Sepanjang kerjaya beliau, Khairul pernah menyandang pelbagai jawatan strategik di agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dr. Zaliha berkata, beliau yakin pelantikan Khairul Nizam mampu menerajui PKB dengan wawasan yang jelas, komitmen yang tinggi serta dalam memperkasa agenda pembangunan semula Kampong Bharu sebagai kawasan warisan dan ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan untuk masa depan generasi Melayu bandar.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Dr. Amir Raslan Abu Bakar atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PKB dari 26 Julai 2023 hingga 25 Julai lalu.
“Sumbangan beliau amat dihargai dalam mengukuhkan operasi dan hala tuju strategik PKB,” katanya. – UTUSAN










