Kes tular pelajar tumbuk guru: KPM serah kepada polis, fokus sokongan kaunseling

Kes tular pelajar tumbuk guru: KPM serah kepada polis, fokus sokongan kaunseling

FADHLINA Sidek ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan Orkestra Sekolah Seri Puteri, SPWinds yang menerima Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11, di KLIA, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kajang yang tular selepas didakwa menumbuk guru kerana ditegur akibat ponteng kelas.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kementerian mempunyai garis panduan dan peraturan dalaman yang sedang dilaksanakan, tanggungjawab penyiasatan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa memandangkan kes itu telah diambil alih oleh pihak polis.

“Kita di peringkat KPM ada peraturan dan kita laksanakan seperti biasa.

“Tetapi apabila pihak autoriti seperti polis telah mengambil alih kes itu, kita serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan Orkestra Sekolah Seri Puteri, SPWinds yang menerima Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11, di sini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Terdahulu, tular seorang pelajar lelaki bertindak menumbuk muka seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan, selepas dikatakan berang ditegur kerana ponteng kelas.

Fadhlina menjelaskan, KPM akan memberi perhatian kepada aspek sokongan emosi dan kaunseling kepada guru yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Sesi kaunseling akan diberikan kepada guru kerana saya fikir sokongan kepada guru kita juga penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut memberi penjelasan berhubung kebimbangan masyarakat terhadap pelajar yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), yang selepas dibuang akan dimasukkan semula ke sekolah di bawah sistem KPM.

Situasi itu dibimbangi bahawa tindakan sedemikian seolah-olah ‘mengalihkan masalah’ ke sekolah kerajaan dan memberi kesan kepada reputasi KPM.

Justeru, Fadhlina menegaskan, KPM komited untuk menerima dan mendidik semua pelajar, termasuk mereka yang mempunyai rekod disiplin, berdasarkan prinsip pendidikan inklusif.

“Tugas mendidik adalah tanggungjawab KPM. Apabila mereka dihantar ke sekolah kerajaan, kita perlu terima. Itu komitmen dan tanggungjawab kita. Tak timbul isu menolak atau tidak beri peluang,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan pemulihan dan pembentukan karakter pelajar melalui kaunseling dan intervensi pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kementerian.

“Kaunseling adalah proses berterusan. Kita akan lihat juga aspek lain dalam membina semula karakter dan disiplin anak-anak ini melalui sudut pendidikan dan intervensi yang bersesuaian,” katanya.

KPM sebelum ini memperkenalkan beberapa program intervensi pelajar berisiko, termasuk pelaksanaan Modul Sahsiah Diri, intervensi Psikososial, serta pelibatan ibu bapa dan komuniti dalam memantau perkembangan pelajar yang dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN