Kes penipuan skim pelaburan perlu siasatan bersepadu - MHO

Kes penipuan skim pelaburan perlu siasatan bersepadu – MHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan bersepadu perlu dijalankan pihak berkuasa berkaitan penipuan skim pelaburan didakwa patuh syariah yang mengakibatkan kerugian hampir RM83 juta yang didedahkan baru-baru ini.

Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata, pihaknya mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Bank Negara Malaysia (BNM) menyelaras siasatan bagi mengelakkan percanggahan maklumat dan melancarkan pendakwaan.

“Sekarang kita lihat siasatan dibuat secara berasingan, satu-satu oleh agensi. Sepatutnya ada penyelarasan, sebab kesan kepada mangsa ini besar, ada yang kehilangan wang persaraan, duit simpanan perniagaan malah terpaksa berhutang.

“Kami risau dalang utama sempat lesap ke luar negara kerana tiada tindakan pantas,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin, keempat-empat syarikat terbabit mempunyai modus operandi yang hampir serupa, iaitu mempromosikan pelaburan kononnya patuh syariah dengan meletakkan nama tokoh agama terkenal sebagai penasihat syariah atau Ahli Lembaga Penasihat Syariah.

Jelasnya, tiga daripada syarikat berkenaan menawarkan pelaburan saham preference share, disasarkan kepada pelabur berstatus sophisticated investor atau pelabur berpendapatan tinggi.

“Manakala satu lagi syarikat, menawarkan saham biasa kepada lebih 50 orang pelabur, yang secara teknikalnya sudah dikira sebagai saham awam.

“Tidak ada satu pun daripada syarikat ini mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk menawarkan saham atau mengeluarkan prospektus sah,” katanya.

Tambahnya, ada yang mendakwa mereka dikecualikan daripada prospektus kerana menyasar pelabur berprofil tinggi, sedangkan hakikatnya tetap memerlukan kelulusan.

Beliau berkata, selain itu, syarikat terbabit juga tidak memiliki akaun pelaburan amanah yang dikawal selia oleh pemegang amanah berdaftar dengan SSM, sekali gus menimbulkan keraguan besar terhadap kesahihan dan keselamatan pelaburan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“MHO juga bimbang, jika tidak ada tindakan bersama empat agensi ini, siasatan akan kekal lambat dan mangsa terus menanggung beban tanpa sebarang keadilan,”katanya.

Hishamuddin berkata, MHO menyerahkan tiga surat kepada JSJK bagi memohon siasatan dipercepatkan termasuk meminta kertas siasatan diserahkan segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

Beliau berkata, MHO setakat ini menerima aduan 296 mangsa membabitkan jumlah kerugian hampir RM83 juta, namun percaya jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana ada mangsa belum tampil membuat laporan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN