ALOR SETAR: Kedah merekodkan peningkatan dalam purata kes jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak iaitu sebanyak 42 kes sebulan dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding 16 kes, tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan itu membimbangkan apatah lagi kebanyakan kes membabitkan mangsa yang mengenali pelaku.
“Tapi saya yakin, itu hanya merujuk kepada kes yang dilapor sebab corak jenayah jenis ini juga sering kali data menunjukkan bahawa si pelakunya adalah dalam kalangan yang dikenali mangsa.
“Mangsa jenayah seksual pula adalah mereka di bawah 18 tahun yang mewakili 75 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setiap tahun,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di Derga, di sini semalam.
Saifuddin berkata, kes jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai saksi cabaran terbesar kepada siasatan polis untuk mengumpul dan membina bukti.
“Selain pegawai penyiasat membuka kertas siasatan, komponen siasatan mesti dilengkapi corroborative evidence. Jadi itu adalah fungsi yang dikendalikan oleh CIC,” katanya.
Beliau berkata, tugas di CIC dianggap unik kerana ia berbeza dengan proses penyiasatan yang biasa dilakukan oleh pihak polis terhadap kes-kes lain.
“Kepakaran yang ada pada CIC ini adalah pegawai polis yang berlatarbelakang cabang psikologi dan kelulusan-kelulusan profesional lain yang serupa. Mereka kena ada kemahiran kaunseling, psikologis, trauma dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










