Kes jenayah seksual kanak-kanak meningkat - Ahmad Zahid

Kes jenayah seksual kanak-kanak meningkat – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melonjak sebanyak 43.2 peratus dalam tempoh empat tahun iaitu daripada 2,541 kes pada tahun 2020 kepada 3,892 kes pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikannya hari ini turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah mangsa yang mencatatkan lonjakan 55.7 peratus dalam tempoh sama daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang.

Katanya, perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0 turut menyumbang kepada evolusi modus operandi jenayah lebih kompleks termasuk penggunaan teknologi ‘deepfake’ serta pencurian identiti digital.

“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu ini secara menyeluruh, tegas dan berkesan.

“Antara langkah segera ialah penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual yang dijadual berlangsung pada November ini,” katanya susulan mesyuarat Majlis Sosial Negara itu di sini hari ini.

Majlis Sosial Negara (MSN) merupakan platform penting dalam menyelaras pelaksanaan dasar sosial negara secara menyeluruh dan rentas kementerian selaras dengan komitmen kerajaan Madani untuk membina masyarakat inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Bagi memperkukuh impak dasar yang digubal, keanggotaan MSN turut diperluas mulai tahun ini dengan melibatkan kementerian strategik seperti Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, mesyuarat hari ini turut meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026–2030 yang berada di fasa akhir serta dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober tahun depan.

Katanya, DSN 2030 merupakan dasar induk yang menyelaras pelaksanaan 44 dasar sosial negara secara holistik.

“Majlis turut memberi perhatian terhadap isu gelandangan yang mengalami gangguan kesihatan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas.

“Justeru, MSN menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas (‘task force’) bagi membangunkan rumah jagaan kejururawatan psikiatri,” ujarnya.

Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu berkaitan pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan latihan tenaga pengajar.

“Inisiatif ini merupakan langkah strategik ke arah sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih teratur, selamat dan berkesan,” katanya lagi.

Tambah beliau, MSN turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan apabila Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.

Bagi menangani isu ini secara tuntas, katanya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp telah melancarkan inisiatif MyMAHIR.

“Setakat ini, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR merangkumi sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.

“Program ini bukan sahaja memberi latihan berkemahiran tinggi, malah menjanjikan penempatan pekerjaan dengan purata gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN