ALOR GAJAH: Seorang ibu dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki membunuh bayi perempuan berusia 15 bulan dalam kejadian di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini, semalam.
Perintah reman sehingga 13 Julai ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 20 dan 24 tahun itu.
Permohonan reman dilakukan bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, bayi perempuan berusia 15 bulan maut dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di sebuah premis kedai di Bandar Satelit.
Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk pada bahagian dubur, selain kesan lebam di perut dan belakang badan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas ibu kandungnya membawa mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital pada pukul 11 malam. – UTUSAN