PETALING JAYA: Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung siasatan kes selebriti Shila Amzah yang didakwa diherdik oleh seorang penyanyi legenda tempatan, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Kertas siasatan telah dirujuk dan sedang menunggu keputusan TPR,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan setakat ini seramai empat keterangan saksi termasuk pengadu sudah diambil bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Shila memuat naik hantaran di akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa dan trauma dengan kejadian yang berlaku ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR DIY yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Susulan itu, Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis lalu.
Siasatan polis kemudian mendedahkan punca kejadian kerana rasa tidak puas hati penyanyi lagenda berkenaan terhadap pengadu yang mencampuri urusan masalah keluarganya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










