PETALING JAYA: Kerajaan melaksanakan beberapa langkah strategik bagi memastikan industri getah negara tidak terbeban terutama dalam menghadapi isu ketidakstabilan harga komoditi itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara langkah tersebut adalah menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi menjamin kebajikan pekebun kecil dan memastikan mereka memperoleh pendapatan wajar apabila harga getah jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan (PHP).
Beliau berkata, PHP IPG sudah dinaikkan kepada RM3 sekilogram bermula tahun lalu dan ia memberi manfaat kepada seramai 239,053 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM523.4 juta sejak pelaksanaannya dari September 2015 sehingga 30 Jun lalu.
Selain itu, katanya, Lembaga Getah (LGM) turut sudah membangunkan Projek Rintis Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL +) di Kedah dan Perak yang bertujuan menggalakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran getah dalam bentuk lateks yang memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding getah beku.
“Skop pelaksanaan projek ini, antaranya adalah mekanisme pembelian secara terus hasil lateks pekebun kecil oleh kilang pemprosesan tanpa orang tengah (peniaga), pemberian insentif tunai, insentif penyertaan, insentif galakan dan insentif produktiviti.
“Inisiatif ini juga adalah langkah awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada lateks import, selain sebanyak 221 tan lateks berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+, sehingga Jun lalu.
“Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program ke tiga lagi lokasi tambahan yang sedang dijalankan pada tahun ini, iaitu di Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen Malaysia, hari ini.
Johari berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai langkah strategik bagi memastikan harga getah kekal stabil dan tidak merosot hingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
Mengulas lanjut, Johari berkata, selain daripada program dan langkah yang dilaksanakan itu, kerajaan turut mewujudkan Program Konsolidasi Getah Terbiar bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil melalui pengurusan kebun terbiar secara berkluster.
Katanya, program tersebut membuka peluang kepada syarikat swasta, koperasi dan pengusaha individu untuk mengurus kawasan terbiar secara komersial, selain mewujudkan peluang pekerjaan tetap dengan pendapatan lebih stabil kepada masyarakat setempat sebagai penoreh.
“LGM bersama FELDA sudah mengenal pasti lebih 1,000 hektar kebun getah terbiar untuk diusahakan di bawah program ini.
“Pelaksanaan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) pula bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui pembabitan langsung dalam rantaian industri tanpa kebergantungan kepada orang tengah,” jelasnya.
Tambahnya, ia mampu memendekkan rantaian bekalan dan membolehkan pekebun menghasilkan getah krip bernilai tambah dengan Kandungan Getah Kering (KGK) kira-kira 80 peratus yang memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun kecil.
“Jika dilaksanakan melalui koperasi, keuntungan turut diagihkan sebagai dividen kepada ahli. Ketika ini, LGM sedang membina tiga pusat TARGET, dijangka beroperasi pada suku kedua 2026,” jelasnya. – UTUSAN










