NIBONG TEBAL : Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya tersepit di celah besi penghadang di sebuah taska di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.27 pagi, menyebabkan pihak pengurusan taska segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang untuk bantuan kecemasan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kanak-kanak itu masih tersepit pada bahagian kepala di celah besi penghadang.
“Operasi penyelamatan segera dijalankan dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa mengalami kecederaan serius,” katanya.
Proses penyelamatan mengambil masa kira-kira 15 minit, dan operasi berjaya ditamatkan pada pukul 8.49 pagi. – UTUSAN