GEORGE TOWN : Beberapa buah kenderaan dipercayai terbabas dan mengalami kemalangan kecil semasa melalui Jalan Masjid Negeri di sini, hari ini gara-gara tumpahan minyak diesel.
Difahamkan, tumpahan minyak diesel sepanjang hampir satu kilometer (km) itu berpunca daripada sebuah lori yang dikatakan membawa muatan diesel seludup.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3.39 petang.
Katanya, sepasukan anggota bdari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak kemudian dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat dan membersihkan tumpahan minyak.
“Sekurang-kurangnya dua buah kereta dan beberapa buah motosikal dipercayai telah mengalami kemalangan kecil akibat tumpahan minyak diesel itu.
“Susulan kejadian itu juga, seorang penunggang motosikal dilaporkan mengalami cedera ringan, namun, dia telah tiada di lokasi semasa ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi pembersihan kemudian dilakukan dengan menggunakan aliran air dan serbuk pencuci bagi mengelakkan kejadian lebih serius.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.47 petang selepas kawasan disahkan selamat,” katanya.
Ketika ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis dilaporkan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan.-UTUSAN