SEREMBAN: Pas berasa curiga dengan niat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mereka membuat pengumuman bantuan kepada rakyat beberapa hari sebelum penganjuran Himpunan Turun Anwar di ibu negara, Sabtu ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman-pengumuman seumpama itu kebiasaannya ketika pembentangan belanjawan dan akan disusuli beberapa lagi pengumuman selepas itu.
“Kenapa dia (Anwar) tidak tunggu pembentangan bajet? Sepatutnya pengumuman- pengumuman sebegini biasa dibuat masa bajet. Tapi kenapa dia buat sekarang? Bererti selepas bajet nanti tentu ada (peruntukan) lagi.
“Jadi kenapa dia buat sebelum 26 Julai? Dua tiga hari sebelumnya mesti ada sesuatu dalam himpunan (Himpunan Turun Anwar). Kalau kita buat banyak himpunan lagi, mungkin lagi banyak rakyat dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Program Pra-Himpunan Turun Anwar Peringkat Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban, di sini semalam.
Sementara itu, mengenai perkembangan penganjuram Himpunan Turun Anwar Sabtu ini, Tuan Ibrahim berkata, seramai 300,000 orang disasarkan akan hadir.
Malah menurutnya, penjawat awam juga tidak perlu bimbang kerana hak berhimpun terdapat dalam Perlembagaan.
“Kita hanya tunggu beberapa hari sahaja, kita jamin tidak berlaku perkara yang tidak diiingini. Kita letak sasaran 300,000, namun melihat mood yang ada malam ini mungkin lebih daripada itu,” katanya.
Malah menurutnya, pihaknya juga sedia memberi bantuan kepada mana-mana penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana berhimpun.
“Saya balik pada asas, hak-hak dijamin dalam Perlembagaan. Hak-hak rakyat untuk berhimpun ini dijamin dalam Perlembagaan negara.
“Jadi, apabila Perlembagaan sendiri dijamin, tidak sepatutnya ada peraturan lain. Saya fikir apa salahnya rakyat berhimpun, apalagi dia penjawat awam, dia ada hak, sebelum ini pun banyak.
“Penjawat awam ada hak herhimpun, doktor-doktor pun pernah berhimpun sebelum ini. Semua penjawat awam, sebab bagi saya itu jaminan dalam Perlembagaan. Jadi kalau hendak ambil tindakan kita, setiap parti akan sedia bantuan,” katanya. – UTUSAN










