KEBIASAANNYA kedai kopi menjadi tempat orang ramai berbual kosong atau berbahas mengenai isu-isu semasa sama ada peringkat kampung, negeri, negara mahupun dunia sambil menikmati secangkir kopi atau secawan teh panas, tetapi berbeza dengan kawasan Nenggiri.
Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani menjadikan lokasi itu sebagai ‘kaunter aduan’ untuk mendengar keluh kesah rakyat.
Langkah tanpa protokol itu bukan sahaja mendekatkan wakil rakyat muda berkenaan dengan penduduk setempat, malah memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan masalah harian secara santai namun berkesan.
Menurut Mohd. Azmawi atau Awie, pendekatan turun padang secara tidak formal itu lebih mudah diterima oleh penduduk yang beranggapan ia lebih dekat dengan mereka.
“Saya pilih kedai kopi sebagai ‘pusat maklumat rakyat’ kerana di situlah suara rakyat lebih selesa dan telus didengari. Bukan semua orang selesa datang ke pejabat wakil rakyat, ada yang segan, ada yang rasa terlalu formal.

“Tapi bila duduk di kedai segenap lapisan penduduk merasa lebih terbuka untuk cerita tentang apa sahaja yang mereka hadapi,” katanya.
AMALAN SEBELUM JADI ADUN
Awie berkata, budaya keluar masuk kedai kopi bertemu dengan rakyat sudah lama dipraktikkan sebelum beliau bergelar ADUN Nenggiri.
Katanya, cara itu membuatkan dia lebih memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh seluruh penduduk di Nenggiri.
“Inilah cara saya supaya kekal dekat dengan rakyat bukan hanya sebagai pemimpin dan sahabat, malah penyelesai masalah yang dihadapi oleh mereka.
“Selain ke kedai kopi, saya juga akan turun menunaikan solat Jumaat di semua masjid di DUN Nenggiri. Di situ saya akan kumpul seberapa banyak maklumat atau masalah yang dihadapi rakyat dan berusaha sebaik mungkin menyelesaikannya,” ujarnya.
TIDAK JANJI, LIHAT BUKTI
Awie berkata, dalam menawarkan khidmat kepada rakyat Nenggiri dia lebih selesa menggunakan slogan ‘Tidak janji, tapi lihat bukti’ kerana penduduk di kawasan tersebut sudah masak dengan ungkapan janji.

BIODATA
Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani
Tarikh Lahir: 11 September 1986
Pendidikan Rendah/Menengah:
Sekolah Kebangsaaan Gua Musang
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1SK GUA
Pendidikan Tinggi:
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (kepujian) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pekerjaan Profesional (Sebelum Jadi Adun): Pengarah Utusan AF Eighty Six Squad Sdn. Bhd
“Jadi, saya ambil pendekatan yang lebih jujur dan dekat dengan rakyat iaitu jangan terlalu banyak berjanji. Tapi, tunjukkan melalui kerja.
“Saya tidak gemar ‘manis’ mulut di atas pentas ceramah, tapi diam bila rakyat susah. Lebih baik turun padang, dengar sendiri masalah penduduk,” katanya.
ANAK MUDA TERAJU PERUBAHAN
Awie berkata, sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, beliau mahu melihat anak-anak muda menjadi peneraju perubahan di DUN Nenggiri dan bukan bukan sekadar penonton kepada dasar atau pembangunan yang berlaku.
Katanya, golongan belia perlu bijak merebut peluang dan memperkasakan diri dengan pelbagai pengetahuan serta kemahiran mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
“Besar harapan saya agar mereka dapat melihat persekitaran sebagai sesuatu yang berharga dan memanfaatkan tanah-tanah terbiar dengan aktiviti pertanian, perikanan dan sebagainya.
“Begitu juga dengan aspek pembangunan melibatkan komuniti Orang Asli di Nenggiri. Saya juga mahu melihat mereka mengubah taraf sosial ekonomi menerusi pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
RAKYAT BUAT PENILAIAN
Awie memberitahu, dia menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap perkhidmatan yang dicurahkan sepanjang lebih setahun menjadi ADUN.
“Rakyat hari ini lebih bijak. Mereka tidak mahu dengar slogan sebaliknya melihat kepada prestasi kerja dan tindakan. Sebab itulah saya pegang prinsip ini kalau buat, rakyat nampak.
“Kalau janji tak buat, rakyat ingat. Jadi, biarlah hasil kerja saya yang bercakap dan beri jawapan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










