ALOR SETAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin rakyat Kedah kini semakin bersedia untuk melakukan perubahan kepimpinan negeri demi masa depan yang lebih stabil dan sejahtera.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas melalui dua tahun yang penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan di negeri ini, sudah tiba masanya rakyat Kedah kembali memilih kepimpinan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan serta masa depan mereka.
“Apa yang dilihat oleh rakyat Kedah selama dua tahun ini? Saya berdoa dan berharap ia akan berubah. Bukan mudah untuk melakukan perubahan secara drastik tetapi tidak mustahil untuk kita berubah.
“Insya-Allah Kedah akan kembali berada di dalam kepimpinan yang lebih baik dan boleh jaga rakyat,” katanya ketika Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan Belia Luar Bandar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menzahirkan harapannya agar rakyat terus berusaha dan beriltizam untuk memperjuangkan perubahan secara konsisten dan menyeluruh.
“Kalau kita berhasrat untuk melakukan perubahan dan terus berusaha untuk melakukan perubahan, perubahan itu akan datang kepada kita dalam waktu yang terdekat,” katanya.
Menurut beliau, peranan rakyat negeri ini penting dalam memastikan perubahan yang mereka inginkan berlaku pada masa hadapan dan membuat pilihan bijak.
Untuk rekod, Kedah kini dipimpin Perikatan Nasional (PN) sejak Mei 2020 dengan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memperbaharui mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, dua tahun lalu. – UTUSAN










