PORT DICKSON: Kedah, Johor dan Negeri Sembilan merupakan tiga negeri pengeluar utama rumput napier atau juga dikenali sebagai rumput gajah dengan nilai sumbangan kumulatif sebanyak 84.8 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata kuantiti pengeluaran bagi rumput napier pada tahun 2023 adalah sebanyak 35,687 tan metrik dengan negeri Kedah mengeluarkan 22,075 tan metrik diikuti Johor, 4,282 tan metrik dan Negeri Sembilan 3,899 tan metrik.
Katanya, rumput napier berpotensi dalam mengurangkan kos makanan ternakan sehingga 30 peratus.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata, kos rumput napier adalah lebih rendah berbanding makanan ternakan komersial lain seperti dedak atau palet yang lebih mahal.
“Ketiga-tiga negeri ini (Kedah, Johor, Negeri Sembilan) menghasilkan nilai jualan sebanyak RM7.2 juta atau 56.3 peratus kepada nilai jualan keseluruhan tanaman berkenaan.
“Secara keseluruhannya, nilai jualan rumput napier pada tahun 2023 berjumlah RM12.9 juta dengan pegangan pertanian pertubuhan menyumbang RM9.3 juta atau 72.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Peluncuran Perasmian Laporan Interim Banci Pertanian Negeri Sembilan 2024 Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mohd. Uzir berkata, pegangan pertanian bagi tanaman rumput napier di negara ini adalah 169 di mana sebanyak 76 iaitu bersamaan 45 peratus adalah pegangan pertanian pertubuhan, manakala selebihnya 93 (55 peratus) adalah pegangan pertanian individu.
“Sejumlah 1,387.7 hektar digunakan untuk penanaman rumput napier dengan Kedah mempunyai keluasan bertanam terbesar iaitu 363.5 hektar, diikuti Tererengganu, 276.6 hektar dan Negeri Sembilan, 267.9 hektar.
“Pegangan pertanian pertubuhan menyumbang 77.5 peratus daripada keluasan bertanam rumput napier berbanding pegangan pertanian individu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, dalam dapatan bancian, terdapat pengusaha ternakan menjalankan aktiviti menanam rumput napier sebagai makanan ternakan mereka dan untuk jualan.
“Pada Banci Pertanian 2024, sebanyak 27 pegangan pertanian pertubuhan bersamaan 16 peratus yang menjalankan aktiviti penanaman rumput napier juga terlibat dalam aktiviti ternakan.
“Bagaimanapun, tiada penanam rumput napier kategori pegangan pertanian individu yang terlibat dalam aktiviti ternakan,” katanya. – UTUSAN