PETALING JAYA: Beberapa kebakaran hutan dan belukar yang berlaku di sekitar Lembah Klang sejak beberapa hari lalu berkemungkinan berpunca daripada perbuatan manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, keadaan cuaca panas ketika ini tidak cukup untuk menyebabkan penyalaan sendiri (auto ignition) sekali gus menolak kemungkinan kejadian itu berlaku secara semula jadi.
“Auto ignition tak mungkin berlaku dengan cuaca sekarang. Jadi, besar kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada manusia, walaupun kami tidak buat siasatan forensik khusus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas beberapa kebakaran membabitkan hutan di sekitar Lembah Klang dekat sini dilaporkan baru-baru ini.
Jelasnya, kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di kawasan bukit Kajang Prima dekat sini yang berlaku semalam memerlukan 22 anggota bomba serta empat jentera untuk memadamkannya.
“Pemantauan dan operasi kami terkawal. Tiada kebakaran besar setakat ini, termasuk melibatkan kawasan tanah gambut,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, sebanyak 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, membabitkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan sampah.
Jelas beliau, kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,733 kes, diikuti kebakaran sampah (1,662 kes), hutan (537 kes) dan kebun atau ladang (291 kes).
“Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,364 kejadian diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44) manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan lapan kes,” ujarnya. – UTUSAN











