PARLIMEN: KDNK suku kedua dijangka 4.5 peratus 

PARLIMEN: KDNK suku kedua dijangka 4.5 peratus 

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka mencatat pertumbuhan 4.5 peratus pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pertumbuhan itu didorong oleh kedudukan ekonomi yang terus stabil dan positif sejak awal 2025.

Katanya, untuk suku pertama tahun ini,  KDNK negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus, menunjukkan asas ekonomi yang masih kukuh.

“Kadar pengangguran pada Mei 2025 pula hanya mencatatkan tiga peratus, manakala kadar inflasi kekal stabil pada 1.1 peratus bagi bulan Jun 2025,” katanya di Dewan Rakyat hari ini 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) tentang strategi kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan jumlah hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion. 

Ia susulan pengumuman Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia untuk 2025 jatuh kepada 3.9 peratus, pada masa negara perlu berdepan tarif timbal-balik daripada Amerika Syarikat.

Hui Ying  berkata, jumlah perdagangan negara turut mencatatkan peningkatan sebanyak 6.1 peratus pada suku kedua 2025, sekali gus menunjukkan kedudukan ekonomi negara kekal positif.

“Kerajaan akan terus memantau prestasi ekonomi semasa dan sentiasa memberikan tumpuan kepada usaha menaikkan lantai selaras dengan Kerajaan Madani.

“Ia memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Hui Ying berkata, kerajaan sedang mengambil langkah berkesan bagi mengawal kos sara hidup rakyat berikutan peningkatan kadar inflasi makanan.

Katanya, kadar purata inflasi makanan kini pada paras 2.1 peratus berbanding kadar inflasi keseluruhan iaitu 1.1 peratus setakat Jun lalu.

“Kami menjangkakan peningkatan kos makanan atau kos sara hidup disebabkan oleh perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kerajaan melalui KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan sentiasa memantau harga makanan untuk memastikan ia terkawal, terutamanya barangan keperluan asas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN