Kastam Pulau Pinang rampas rokok, arak seludup lebih RM2.67 juta

Kastam Pulau Pinang rampas rokok, arak seludup lebih RM2.67 juta

ROHAIZAD Ali (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok yang dirampas dalam sidang akhbar di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan membabitkan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM2.67 juta dalam dua serbuan berasingan, dua bulan lepas.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, dalam serbuan pertama pada 6 Mei lalu, lebih 1.3 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah hampir RM1.8 juta berjaya dirampas di Bukit Mertajam.

Beliau berkata, rokok itu dijumpai susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang ditinggalkan di tempat letak kereta sebuah kawasan perumahan di situ.

“Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 30 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, rokok-rokok tersebut disembunyikan di ruang tempat menyimpan barang kenderaan tersebut.

“Berdasarkan soal siasat yang dibuat, kami percaya rokok-rokok tersebut diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Rohaizad memberitahu, serbuan kedua pula dibuat di sebuah rumah di taman perumahan, di sini tiga hari kemudian.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemukan kira-kira 15,288 tin bir dan 13,820 botol minuman keras dianggarkan bernilai hampir RM900,000 termasuk cukai.

ROHAIZAD Ali (tengah) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

“Ketika serbuan dilakukan, rumah tersebut didapati kosong. Ketika ini, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pemilik kediaman itu.

“Maklumat awal mengatakan, dia menyewakan rumah terbabit kepada seorang individu lain dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan ketika ini,” ujar Rohaizad.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN