Kandungan dijana AI mungkin wajib dilabel hujung tahun ini

Kandungan dijana AI mungkin wajib dilabel hujung tahun ini

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pelabelan terhadap kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai ‘AI generated’ di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dijangka dikuatkuasakan hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi membendung penyalahgunaan teknologi AI khususnya dalam platform media sosial yang semakin berleluasa untuk tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu dan penyamaran identiti.

“Mungkin kita akan pertimbangkan keperluan untuk pelabelan ini melalui Akta Keselamatan Dalam Talian, yang akan berkuat kuasa, insya-Allah, hujung tahun ini.

“Kami juga melihat bahawa platform digital perlu lebih proaktif dalam melabelkan kandungan yang dihasilkan oleh AI sebagai kandungan terjana AI,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Institut Perhubungan Awam Malaysia, YOU & AI: Meet @ Bangsar di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beberapa platform media sosial kini telah mula melaksanakan pelabelan kandungan AI secara sukarela dan usaha ini wajar diperluas ke peringkat serantau melalui kerjasama dalam kalangan negara ASEAN.

Katanya, meskipun belum ada garis panduan kawal selia yang jelas di peringkat antarabangsa berhubung kandungan palsu terhasil daripada AI, perbincangan mengenainya sedang giat dijalankan oleh pelbagai badan dunia.

Menurut Fahmi, AI tidak boleh menggantikan peranan manusia sepenuhnya, sebaliknya menekankan pentingnya generasi akan datang khususnya Generasi Alpha memahami manfaat, cabaran dan batasan teknologi itu dalam kehidupan seharian.

“Saya baru-baru ini menghadiri AI for Good Summit di Geneva, Switzerland dan memang di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), persoalan utama adalah siapa yang patut bertanggungjawab menghasilkan garis panduan kawal selia?

“Sudah tentu, di peringkat nasional, Parlimen dan kementerian seperti Kementerian Digital perlu memainkan peranan utama. Namun, semua kementerian juga harus menilai dan mengkaji penggunaan AI dalam sektor masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN