Kanak-kanak lelaki maut digigit anjing liar

Kanak-kanak lelaki maut digigit anjing liar

Mohd. Hafiz Muhammad Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH : Polis mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan maut selepas dipercayai digigit beberapa ekor anjing liar di kawasan Kampung Orang Asli Sungai Buloh semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu disedari oleh ibu bapa mangsa ketika mereka pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah terbuka sebelum menemukan mayat anak mereka dalam jarak kira-kira 20 meter dari kediaman.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pasangan Orang Asli itu segera membawa mangsa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa yang  tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) terhadap namun tiada tindak balas.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 pagi oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan luka dan calar di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

“Mayat kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai ditinggalkan di rumah bersama bapa saudaranya kerana ibu bapa mangsa bekerja.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dan bapa saudaranya itu tidur di bahagian ruang tamu rumah. 

“Bapa saudara mangsa menyedari kehilangan kanak-kanak itu selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa dan mendapati mangsa tidak berada di sebelahnya selain pintu rumah dalam keadaan terbuka,” ujarnya.

Mohd. Hafiz berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada bapa mangsa, mayat anaknya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

“Sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN