SEREMBAN: Pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan bas persiaran mesti dibudayakan demi keselamatan penumpang sama seperti pematuhan ketat dalam sektor penerbangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, rakyat perlu mengubah sikap dan tidak menganggap langkah menguatkuasakan peraturan itu sebagai satu beban, sebaliknya melihatnya sebagai langkah asas keselamatan.
“Dalam kapal terbang, pemakaian tali pinggang keledar adalah perkara biasa. Penumpang ikut arahan tanpa bantahan, malah syarikat penerbangan siap tunjuk demonstrasi keselamatan sebagai prosedur operasi standard (SOP).
“Jadi mengapa apabila naik bas, kita tidak boleh buat perkara yang sama, tiada beza pun dimana dua-dua ada risiko kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Negeri Sembilan 2024 di sini, hari ini.
Anthony Loke dalam pada masa menjelaskan bahawa penguatkuasaan pemakaian tali pinggang yang dijalankan itu bukan bersifat bermusim atau berdasarkan operasi khas, sebaliknya dijalankan secara berterusan sepanjang masa.
“Penguatkuasaan ini tidak akan berhenti. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tindakan secara konsisten, termasuk pendekatan penyamaran untuk menilai sejauh mana pengusaha bas mematuhi peraturan tersebut.
“Antara aspek yang dipantau adalah sama ada pemandu memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang keledar sebelum perjalanan dimulakan, dan sama ada penumpang benar-benar mematuhi arahan tersebut.
“Saya akan terima laporan berkala daripada JPJ. Kita audit dan tengok sendiri sama ada pengusaha melaksanakan tanggungjawab mereka. Pendekatan penyamaran ini penting untuk pastikan sistem berfungsi,” tambah beliau.
Menyentuh soal kemalangan jalan raya, Anthony Loke menegaskan bahawa tali pinggang keledar bukan satu-satunya langkah keselamatan tetapi ia mampu mengurangkan risiko kematian.
“Kemalangan berlaku atas pelbagai punca. Tetapi banyak kes kematian berlaku kerana penumpang tidak memakai tali pinggang. Apabila berlaku hentaman kuat, mereka boleh tercampak keluar,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa perubahan budaya mengambil masa namun ia mesti dimulakan sekarang agar pematuhan menjadi kebiasaan.
“Berikutan itu, saya menggesa semua pihak termasuk pengusaha bas dan penumpang supaya melihat usaha ini secara positif dan menyokong pelaksanaan demi keselamatan.
“Orang ramai perlu faham yang penguatkuasan ini bukanlah untuk menyusahkan mereka tetapi demi keselamatan,” katanya. – UTUSAN