Kaji skim gaji dan semua faedah jururawat kerajaan

Kaji skim gaji dan semua faedah jururawat kerajaan

DR. KALWINDER SINGH KHAIRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skim gaji dan faedah serta tempoh bekerja jururawat dalam sistem kesihatan awam diperlu dikaji semula bagi mengatasi kekurangan petugas kesihatan itu di hospital kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan laluan kerjaya yang jelas dan teratur bagi jururawat merangkumi peluang kenaikan pangkat. 

Katanya, langkah itu penting bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat yang kritikal di hospital kerajaan.

“Kerangka kemajuan kerjaya yang tersusun bukan sahaja dapat memotivasikan jururawat untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam malah turut meningkatkan kualiti serta tahap profesionalisme tenaga kerja kejururawatan. 

“Langkah ini juga akan menggalakkan lebih ramai individu yang layak untuk menceburi kerjaya kejururawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal dan mengambil pendekatan meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang.  

Antara faktor utama yang dikenalpasti termasuk tawaran gaji serta manfaat yang lebih baik dibandingkan dengan sektor kesihatan awam. 

Dr. Kalwinder berkata, isu kekurangan jururawat perlu dibawa ke peringkat tertinggi kerana memberi kesan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Katanya, kesihatan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan dan tindakan mesti diambil segera agar situasi tidak menjadi lebih parah.

“Masalah kekurangan jururawat adalah kronik, ditambah dengan beban kerja yang berat serta keletihan melampau merupakan antara punca utama jururawat meninggalkan sektor awam untuk mencari peluang lain.

“Menangani isu ini adalah penting bagi memastikan kadar pengekalan jururawat dalam sistem awam dapat ditingkatkan,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN