PETALING JAYA: Kabinet dijangka membincangkan isu peningkatan kadar tarif import sebanyak 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia dalam mesyuarat mingguan, esok.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, isu berkenaan termasuk peluang rundingan lanjutan dengan AS akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri, sebelum tarikh akhir rundingan pada 1 Ogos ini.
“Persoalannya sekarang, AS mahu kenakan caj terhadap kita, dan apa pilihan yang kita ada? Kita tidak boleh halang keputusan mereka.
“Namun begitu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengadakan rundingan selama 90 hari sebelum ini, dan AS bersetuju memberi lanjutan rundingan sehingga 1 Ogos,” katanya kepada media hari ini.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Beliau berkata, kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding tarif awal sebanyak 24 peratus yang dikenakan ke atas barangan eksport tertentu dari Malaysia ke AS, yang kemudiannya ditangguhkan selama 90 hari, dan tempoh itu berakhir hari ini.
Tambah beliau, dalam tempoh rundingan yang masih berjalan itu, kadar tarif yang dikenakan telah dinaikkan daripada 24 peratus kepada 25 peratus.
“Kita tunggu dan lihat, dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya.
Sebelum ini, Washington mengumumkan peningkatan kadar tarif ke atas beberapa produk import dari Malaysia sebagai sebahagian daripada penilaian semula dasar perdagangannya di rantau Asia.-UTUSAN










