KUALA LUMPUR: Jumlah RM48.873 bilion yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan angka ketirisan atau kerugian sebaliknya merupakan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek yang diaudit di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, jumlah tersebut sebagaimana yang dipetik beberapa portal media berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.
Katanya, skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program, projek dan aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang serta inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan.
“Setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuhkan sistem dalaman dan pematuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Wan Suraya berkata, bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) telah berjaya membantu Kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta.
“Antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai. – UTUSAN









