PETALING JAYA: Band popular Indonesia, Juicy Luicy, menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan artis popular Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid.
Jelas Juicy Luicy yang dianggotai Julian Kaisar (vokalis), Denis Ligia (gitar elektrik), Zamzam Y.M (saxophone, gitar akustik), Dwi Nugroho (drum), dan Bina Bagja (bass) mereka sangat mengagumi lontaran vokal kedua-dua penyanyi bertaraf legenda itu.
“Jika diberi kesempatan kami mahu bekerjasama dengan Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Datuk Siti sudah menjadi idola kami sejak dulu. Paling kami suka lagunya Aku Cinta Padamu,” katanya Julian Kaisar yang turut menyanyikan lagu tersebut kepada media.
Juicy Luicy ditemui semasa sidang media dalam talian baru-baru ini.
Bercakap mengenai lagu-lagu hit mereka yang mencapai ratusan juta penstriman, Juicy Luicy bagaimanapun tidak mempunyai sebarang formula khusus untuk tular sebaliknya menikmati proses menulis lagu dengan sepenuh jiwa.
“Tular atau tidak, ia bukan di bawah kawalan kami. Kami tidak pernah mengejar jutaan penonton. Ketika lagu Sialan menjadi tular, kami juga terkejut.
“Ini kerana lagu tersebut sudah diterbitkan setahun sebelum tular.
“Apa yang penting bagi kami adalah kami seronok sepanjang proses menghasilkan sesuatu lagu. Jika viral, itu sudah dianggap bonus,” tambahnya.
Menerusi konsert Ruang Inspirasi Festival (RIF), mereka turut menampilkan penyanyi Tulus di sebelah siang manakala Juicy Luicy di sebelah malam.
Juicy Luicy bakal menyanyikan lebih 10 buah lagu hit mereka termasuk buah tangan terbaharu, Malapetaka.
“Selain itu, kami bakal membawakan susunan muzik yang berbeza dan intro baru khas untuk konsert kali ini,” katanya.
Ruang Inspirasi Festival (RIF) yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos 2025 (Ahad) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. -UTUSAN