JPN minta kerjasama waris urus kewangan Putri Qisya

JPN minta kerjasama waris urus kewangan Putri Qisya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah meminta kerjasama waris atau keluarga kepada anak sulung pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak yang lain di Sungai Korok di sini untuk membantu menguruskan kewangan kanak-kanak itu sebaik mungkin.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pihaknya turut bersedia membantu membuka akaun bank untuk Putri Qisya Nur Izat Mohamad Azim Izat 12, bagi memudahkan urusan kewangan hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Kami memohon waris membantu dalam pengurusan kewangan ini, kerana banyak sumbangan yang diterima dan perlu diuruskan sebaik mungkin kerana matlamat utama kita untuk memastikan pendidikan Putri Qisya terjamin sehingga ke menara gading,” katanya.

Abdul Rahim berkata, JPN Kedah turut bersedia membantu memudahkan proses pemindahan sekolah kanak-kanak itu sekiranya dia mahu bersekolah di sekolah berasrama atau berhampiran dengan kediamannya.

“Namun buat masa ini, Putri Qisya memaklumkan dia selesa untuk terus bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru, Alor Setar dan ahli keluarganya juga bersedia untuk menghantar dan mengambil kanak-kanak itu setiap hari,” katanya.

Tambah beliau, JPN Kedah akan memastikan semua bentuk bantuan persekolahan yang disalurkan kerajaan akan dinikmati oleh kanak-kanak itu susulan status Putri Qisya Nur Izzat yang kini menjadi yatim piatu dan hilang tempat bergantung susulan tragedi itu.

“Pertama sekali, kita akan uruskan balik sarapan pagi di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan adik ini juga akan dapat bantuan ‘one-off’ bencana daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dalam bentuk tunai.

“Tiga adik kepada Putri Qisya yang terkorban juga adalah pelajar sekolah, mereka dilindungi oleh insurans dan apabila kemalangan yang melibatkan kematian, memang ada pampasan dalam bentuk tunai yang juga akan disalurkan kepada Putri Qisya sebagai waris,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, kaunselor dari sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan JPN Kedah akan memberikan kaunseling kepada kanak-kanak itu secara berterusan bagi membantu menguatkan emosinya.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, Putri Qisya Nur Izat sekelip mata bergelar yatim piatu setelah bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, menemui ajal bersama ibu dan empat adiknya iaitu, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy,31; Putra Rayyan,9; Hawa Adriana,8; Anayla Huma’ira,7; dan Tuah Haydar, enam bulan.

Ia selepas kereta dinaiki enam sekeluarga itu terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra di sini sebelum semua mangsa ditemukan maut di dalam kereta pada pagi Isnin lalu di dalam sungai berkedalaman enam meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN