JPJ tambah 10,000 kuota lesen B2 percuma

JPJ tambah 10,000 kuota lesen B2 percuma

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bersama penerima lesen memandu B2 pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneruskan program MyLesen B2 dengan penambahan 10,000 kuota peserta bagi separuh tahun kedua ini.

Ia sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah dan juga pelajar mendapatkan lesen secara sah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu menyusul selepas kejayaan fasa pertama program berkenaan yang melibatkan lebih 15,000 peserta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Fasa baharu ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta yang disalurkan menerusi inisiatif Kementerian Pengangkutan. 

“Setiap peserta akan menerima latihan penuh melibatkan modul Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01), Praktikal di Jalan Raya (KPP03), dengan nilai sekitar RM350 seorang.

“Tambahan kuota ini bukan sahaja akan membuka peluang kepada lebih ramai belia untuk memiliki lesen secara sah malah dapat membantu mengurangkan kes-kes penunggang tanpa lesen yang menjadi salah satu punca utama kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sembilan hari ini.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut menggesa kerjasama rapat daripada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyenaraikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah dan mengenal pasti status lesen mereka.

“Sekolah ada semua maklumat pelajar. Kani minta mereka bantu kenal pasti pelajar yang belum ada lesen. Ini bukan untuk menghukum, tetapi untuk bantu mereka dapatkan lesen secara sah,” katanya. 

Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan pihak sekolah amat penting, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, di mana ramai pelajar dilaporkan menunggang motosikal tanpa lesen kerana keperluan pergerakan ke sekolah.

“Lesen yang diperoleh secara percuma boleh dibatalkan serta-merta jika disalah guna untuk aktiviti seperti lumba haram atau “rempit”.

“Kita sokong penuh program pemutihan lesen ini. Tapi jika ada pelajar menyalahgunakan lesen, kita tidak akan teragak-agak untuk tarik balik lesen dan kenakan saman,”katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN