JPJ tahan empat lelaki warga asing tawar perkhidmatan prebet sapu 

JPJ tahan empat lelaki warga asing tawar perkhidmatan prebet sapu 

AZRIN BORHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seramai empat lelaki warga asing ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada Isnin lalu kerana menjalankan perkhidmatan prebet sapu secara haram.

Kegiatan mereka yang dijalankan sejak satu hingga dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan berhampiran sebuah pusat beli belah di Subang Jaya.

Kesemua individu berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun itu terdiri daripada tiga warga Yaman dan seorang warga Dubai dipercayai mengenakan caj sekitar RM250 bagi perjalanan dari hotel ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi bermula kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 2 petang itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pengangkutan tanpa lesen sah.

“Empat buah kenderaan telah disita ke JPJ Shah Alam, terdiri daripada satu Perodua Alza, dua Hyundai Starex dan sebuah Toyota Innova. 

“Siasatan mendapati kenderaan terbabit digunakan untuk mengangkut penumpang secara haram, terutama pelancong asing,” katanya di sini.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah penyalahgunaan lesen kenderaan motor (LKM), tiada lesen memandu sah serta menjalankan aktiviti pengangkutan awam tanpa kebenaran.

“Tindakan dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sitaan kenderaan terlibat dijalankan di bawah Seksyen 64 akta sama,” jelasnya.

Menurutnya, JPJ Selangor akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan pengangkutan haram yang melibatkan penyalahgunaan kenderaan persendirian termasuk oleh warga asing.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama ini boleh menyalurkan aduan ke [email protected] atau menerusi aplikasi e-Aduan dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan butiran kejadian.

“Perkhidmatan prebet sapu ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN