KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas gagal membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn. Bhd.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Insolvensi) di sini, Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024 pada prosiding petisyen pemiutang tersebut hari ini.
Menurut peguam, Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan, pihaknya pada mulanya memfailkan notis kebankrapan terhadap Jovian pada 21 Mei tahun lalu selepas bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan Mahkamah pada 2 April tahun lalu.
Berdasarkan dokumen diperoleh media, jumlah terkini yang perlu dibayar oleh Jovian kepada Cekap Air ialah sebanyak RM5,284,340.66 yang turut termasuk faedah.
“Selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Jovian, kami memfailkan petisyen pemiutang. Pada prosiding hari ini, mahkamah telah keluarkan perintah kebankrapan terhadap Jovian.
“Jovian ada memfailkan pelbagai permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen kebankrapan yang difailkan terhadapnya tetapi semuanya telah ditolak oleh mahkamah,” ujar peguam terbabit.
Penghakiman terus ialah keputusan mahkamah yang diberikan kepada pihak yang menang tanpa melalui perbicaraan penuh.
Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin telah mengeluarkan penghakiman terus selepas membenarkan permohonan Cekap Air dan Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Rayuan berhubung penghakiman terus itu akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 15 September ini.
“Bagaimanapun, dengan perintah kebankrapan hari ini, Jovian perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Insolvensi sebelum meneruskan rayuannya,”kata Siti Nur Athirazatti.
Mengikut penyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, Jovian merupakan kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.
Pada 25 Februari 2022, Zhen Wei telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan. Pinjaman tersebut sepatutnya dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Pinjaman tersebut dibuat secara lisan dan diberikan memandangkan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana lelaki berkenaan mempunyai beberapa perniagaan lain serta menantu kepada Ismail Sabri.
Pinjaman tersebut telah didepositkan ke akaun pelanggan sebuah firma guaman yang mewakili Jovian yang kemudiannya telah disahkan penerimaan wang tersebut oleh firma tersebut.
Cekap Air dalam afidavitnya turut menyatakan, Jovian tidak pernah menafikan atau mempertikaikan bahawa wang tersebut telah dipinjamkan oleh plaintif kepadanya.
Bagaimanapun, selepas diserahkan notis tuntutan bertarikh 5 April 2023 kepada Jovian dan juga firma guaman yang mewakilinya, Jovian masih gagal, enggan atau cuai untuk membayar semula keseluruhan atau sebahagian pinjaman tersebut menyebabkan Cekap Air mengalami kerugian.
Jovian berkahwin dengan Nina Sabrina yang merupakan anak perempuan tunggal Ismail Sabri yang juga kakak kepada penyanyi Dafi pada 11 Disember 2013. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jeanelle Nika Mandagie namun bercerai pada Ogos 2023.
Nama Jovian kembali disebut media selepas Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, agensi terbabit akan merekodkan keterangan pereka fesyen yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini untuk mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022. – UTUSAN