Johari wakili ASEAN bawa suara Palestin ke pentas antarabangsa

Johari wakili ASEAN bawa suara Palestin ke pentas antarabangsa

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berlepas ke Geneva hari ini bagi mewakili Malaysia dan ASEAN dalam Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Ke-6 untuk menyuarakan penderitaan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.

Persidangan anjuran Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berlangsung dari 28 hingga 31 Julai, menghimpunkan lebih 110 Speaker Parlimen dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran global serta usaha memperkukuh keamanan dan keadilan sejagat.

Menurut Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebagai Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Johari dijadual menyampaikan ucapan penting pada sesi debat umum bertemakan ‘Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua’, esok.

Katanya, dalam ucapan beliau, Johari akan menegaskan pendirian tegas Malaysia dan ASEAN mengenai penindasan berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Parlimen dunia perlu berani bersuara. Kita tidak boleh terus membisu ketika kezaliman berlaku di depan mata.

“Jika dunia terus mendiamkan diri, kita gagal mempertahankan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” katanya hari ini.

Katanya, selain isu Palestin, Johari turut mengetengahkan kepentingan institusi parlimen yang bebas dan berdaya tahan sebagai asas kepada sistem antarabangsa yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan keadilan.

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin parlimen termasuk dari Iran, bagi memperkukuh kerjasama mempertahankan Piagam PBB serta mencari penyelesaian damai terhadap konflik global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN