GEORGE TOWN : Kejadian mayat dua beranak yang dijumpai dalam keadaan reput di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir pada Isnin lalu seharusnya membuka mata ramai pihak mengenai kepentingan hidup berjiran dalam menangani kes-kes terpencil melibatkan tekanan hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, tragedi seumpama itu juga tidak akan berulang sekiranya masyarakat sekeliling saling peka dan mengambil berat terhadap kesejahteraan jiran masing-masing.
“Kerjasama komuniti amat penting bagi mengelakkan kejadian tragis seperti ini daripada terus berlaku.
“Saya mohon agar sesiapa yang mengenali individu atau keluarga yang memerlukan bantuan seperti makanan dan khidmat kaunseling segera maklumkan kepada kami agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Isnin lalu, mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun dijumpai dalam keadaan reput di bilik tidur utama sebuah unit kediaman di aras sembilan sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir yang terletak dalam kawasan Batu Uban di sini.
Mengulas lanjut, Kumaresan berkata, ketika ini, pihaknya juga telah berhubung dengan polis untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.
“Polis memaklumkan tiada sebarang unsur jenayah dijumpai berdasarkan laporan awal forensik. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Dalam hal ini, saya turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya. – UTUSAN