GEORGE TOWN: Jiran kepada mayat wanita yang ditemukan bersama anaknya di pangsapuri Jalan Bukit Gambir di sini kelmarin mendakwa individu itu mengalami tekanan perasaan ekoran masalah keluarga sejak beberapa bulan lalu.
Seorang penduduk, Abdullah, 50-an, yang menetap lebih 20 tahun di situ berkata, wanita tersebut dipercayai hanya tinggal berdua bersama anaknya selepas suaminya dikatakan ditahan pihak berkuasa.
Dia tidak menolak kemungkinan wanita itu mengalami tekanan perasaan berikutan masalah hidup termasuk tidak bekerja dan bekalan elektrik kediaman didakwa telah dipotong sejak beberapa bulan lalu.
“Kami jarang nampak mereka keluar rumah, malah ada jiran kata kali terakhir terserempak dengan lebih dua bulan lalu.
“Setiap kali kami terserempak dengannya, dia hanya membalas dengan senyuman. Mungkin dia sedang menanggung beban emosi yang kami sendiri tidak tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, penduduk di pangsapuri berkenaan dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia dua tahun dalam keadaan reput.
Abdullah berkata, dia dan penduduk mula menghidu bau busuk sejak 21 Jun lalu,
“Petang semalam (kelmarin) kecoh bila polis datang. Barulah kami tahu bau itu datang dari mayat dua beranak yang ditemukan di bilik utama,” katanya.-UTUSAN











