PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini melancarkan Sistem MyVISA 2.0 yang akan mula digunakan pada 1 Ogos ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, MyVISA 2.0 adalah penambahbaikan ke atas sistem sebelum ini yang telah diperkenalkan oleh JIM pada 1 Disember 2021.
Menurut beliau, sistem baharu ini dibangunkan semula sebagai satu platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat dan efisien.
“MyVISA 2.0 yang kita lancarkan pada hari ini mengguna pakai atau pun mengaplikasikan ciri-ciri AI dalam sistem permohonan, di mana pemohon tidak perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.
“AI ini akan menentukan di mana lokasi, mereka akan kenal pasti terus pemohon. Jadi kalau kata kita ada keperluan untuk menemu duga dan sebagainya, kita akan buat temu duga secara AI, melalui sistem versi baru ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Imigresen ke-103 di Ibu Pejabat JIM hari ini.
Sistem MyVISA 2.0 itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
MyVISA 2.0 memperkenalkan pelbagai teknologi terkini seperti pengecaman aksara optik (OCR), notifikasi masa nyata, automasi pintar dan aplikasi mudah alih khusus untuk pemohon.
Ia menawarkan permohonan visa secara digital sepenuhnya dari imbasan pasport, pemuatan dokumen, temu duga maya, penjejakan masa nyata, kelulusan eVisa dengan kod QR hinggalah kepada bantuan interaktif melalui live chat.
Terdahulu, majlis sambutan itu diisi dengan acara kawalan kehormatan dan pemeriksaan perbarisan, persembahan khas Hari Imigresen, Peluncuran MyVISA, penyampaian surat kelulusan permit masuk dan penyampaian hadiah pertandingan kaunter terbaik JIM 2025.
JIM turut menyampaikan penganugerahan pingat kepada tiga penerima iaitu Pingat Setia Perkasa Ketua Pengarah Imigresen Warna Emas dan Pingat Setia Berjasa Ketua Pengarah Imigresen Warna Perak. – UTUSAN