JHEAIK pantau kubur 6 beranak, elak perbuatan khurafat

JHEAIK pantau kubur 6 beranak, elak perbuatan khurafat

AHLI Jawatankuasa Masjid Al-Taqwa menziarahi dan membaca doa di pusara enam beranak mangsa lemas yang tenggelam dalam Sungai Korok di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Taqwa, Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) akan sentiasa memantau Tanah Perkuburan Islam Masjid At Taqwa, Jerlun yang menjadi lokasi pengebumian enam beranak lemas di Sungai Korok secara berterusan.

Usaha itu dilakukan bagi mengelak kawasan perkuburan itu dicemari sebarang amalan khurafat atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr. Abd Ghani Zainuddin berkata, terdapat aduan yang diterima berkaitan kebimbangan berlakunya perbuatan tidak wajar di kawasan itu.

“Pentadbiran Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu menerima maklumat berhubung kebimbangan masyarakat terhadap beberapa perkara yang mungkin berlaku di tanah perkuburan itu.

“Sehubungan itu, kami telah menggerakkan pemantau ke lokasi bagi membuat pemerhatian dari semasa ke semasa. 

“Setakat ini, belum ada keperluan untuk memasang tali penghadang di sekitar kawasan perkuburan namun tindakan lanjut akan diambil sekiranya ada sebarang pelanggaran syariah,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan amalan khurafat atau perbuatan yang bercanggah dengan akidah.

“JHEAIK juga menyeru masyarakat setempat serta pihak masjid untuk sama-sama memainkan peranan dalam memantau dan mencegah sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam,” ujarnya.

Kehilangan sepasang suami isteri dan empat anak mereka yang dilaporkan hilang terjawab selepas mayat mereka dijumpai di dalam kereta jenis Proton Iswara yang terhumban ke dalam Sungai Korok, Isnin lalu.

Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN