SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melihat kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan sebagai salah satu langkah segera bagi menangani peningkatan pencemaran udara di negeri itu akibat jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, langkah tersebut diambil kira susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi ambang 150 secara berterusan.
“Ia sekali gus mencetuskan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal dan unit kesihatan awam.
“Kerajaan negeri tidak menolak untuk pelaksanaan teknologi pembenihan awan secara bersepadu dengan agensi pusat, sekiranya pencemaran udara terus meningkat,”katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut menggiatkan rondaan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan pertanian dan lot industri yang berisiko tinggi.
“Usaha memperkukuh ketelusan data alam sekitar juga dilaksanakan melalui penyediaan maklumat yang boleh diakses oleh komuniti, bagi menyokong kesedaran dan tindakan bersama,” katanya lagi.
Setakat pukul 2 petang tadi, kualiti udara di Nilai di sini mencatat bacaan tidak sihat iaitu 151. – UTUSAN











