JDM Real Fest 2025 pacu sektor pelancongan negara

JDM Real Fest 2025 pacu sektor pelancongan negara

SHAHARUDDIN Abu Sohot (tengah) ketika merasmikan JDM Real Fest 2025 di MITC, Melaka yang menghimpunkan peminat JDM dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Penganjuran Festival Permotoran Japan Domestic Market (JDM) Real Fest 2025 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, program seperti ini bukan sekadar mempamerkan keunikan kereta-kereta JDM tetapi turut menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup, kreativiti serta semangat generasi muda negara terhadap dunia automotif.

“Saya percaya program ini bukan sekadar pameran automotif malah ia adalah manifestasi semangat, minat dan jati diri anak muda Malaysia dan dengan kerjasama pelbagai pihak, JDM Real Fest boleh terus berkembang dan menjadi acara tahunan bertaraf antarabangsa. 

“Kementerian amat memandang tinggi atas inisiatif penganjur yang berjaya menghimpunkan pelbagai elemen menarik seperti pameran kenderaan, aktiviti kekeluargaan, jualan makanan jalanan dan persembahan hiburan yang mampu menarik kehadiran pengunjung pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan JDM Real Fest 2025 di MITC, di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri Melaka dalam memperkukuhkan kedudukan negeri bersejarah itu sebagai destinasi utama acara gaya hidup dan pelancongan serantau.

Sementara itu, Penganjur JDM Real Fest 2025, Norazila Zakaria berkata, festival turut mendapat penyertaan antarabangsa melibatkan peserta dari Singapura, Thailand dan Indonesia, sekali gus menonjolkan potensi acara ini sebagai platform pelancongan serantau.

“Sebanyak 19 kategori dipertandingkan dalam acara Autoshow, melibatkan 86 buah kereta yang akan dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada Wak Apan, Fazly, Shah dan Yoi Ahkaw, selain 30 buah kenderaan ShowCar yang turut dipamerkan.

“Lebih menarik, kemeriahan acara turut diserikan dengan 15 wakil pelumba drift profesional dari Malaysia dan Singapura yang mempersembahkan aksi drift menggunakan kenderaan high-end dengan sistem keselamatan penuh. Pengunjung juga berpeluang merasai sendiri pengalaman taxi drift yang dipandu oleh drifter berpengalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN