KUALA NERUS: Penduduk sekitar Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, menarik nafas lega kerana kerja-kerja membaik pulih jalan dan tebing di laluan pesisir pantai yang sebelum ini runtuh akibat hakisan, dijangka siap sepenuhnya awal Oktober ini.
Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang terjejas akibat hakisan pantai ketika musim tengkujuh lalu kini telah mencapai kemajuan fizikal 72.24 peratus.
Bagi penduduk, projek itu bukan sahaja memberi keselesaan dalam urusan harian tetapi mengembalikan harapan untuk memulihkan ekonomi setempat yang terjejas sebelum ini.
Manan Ali, 71, berkata, pembaikan tersebut dinanti-nantikan selepas kawasan berkenaan mengalami hakisan teruk.
“Saya rasa lega jalan yang runtuh siap dibaik pulih tidak lama lagi dan berharap masalah hakisan dapat diatasi. Bangsal ikan masin saya juga musnah akibat hakisan tahun lalu. Sekarang saya dah tak buat ikan masin, tapi anak-anak sambung buat dari rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau perkembangan projek sejauh 280 meter itu yang bermula April lalu dengan peruntukan RM4.95 juta, dibiayai melalui Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Polis, Muda Abdullah, 69, berkata, pembinaan semula jalan itu diharap dapat menyelesaikan isu hakisan secara menyeluruh.
“Kita harap bila jalan sudah siap dibaiki, aktiviti ekonomi hidup kembali. Dulu, ada lebih 20 peniaga berniaga di sepanjang jalan di sini. Saya berharap kerja-kerja pembaikan ini dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh yang dijangka bermula Oktober ini,” katanya. – UTUSAN










