PETALING JAYA : Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman enggan mengeluarkan sebarang pengesahan mengenai dakwaan pembelian sebuah jet peribadi sehingga satu pengumuman khas berhubung perkara itu dibuat pada Jumaat ini.
Menurut Aliff, yang juga pengasas produk kecantikan dan kesihatan jenama D’Herbs, dia memilih untuk mengunci mulut berhubung perkara itu berikutan ia membabitkan pelbagai pihak serta berpotensi mencetuskan implikasi termasuk cukai dan persepsi masyarakat.
“Sebenarnya saya nak kongsi, tapi risau pula nanti orang kata saya riak. Kalau beritahu lebih-lebih nanti, takut LHDN datang cari pula.
“Jadi kita tunggu Jumaat ini, saya akan umumkan semuanya. Sekarang ini saya mohon doa yang baik-baik sahaja daripada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis minum petang bersama media di kediamannya di Kota Damansara, hari ini.
Mengulas lanjut, Aliff menegaskan nilai pembelian tersebut melibatkan jumlah jutaan ringgit dan disebabkan itu, dia perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
“Sebab perkara ini besar dan libatkan ramai pihak. Saya takut terkena penyakit ain, bila orang pandang dengan rasa iri. Jadi saya ambil langkah berhati-hati. Hari Jumaat nanti saya akan dedahkan semuanya,” katanya.
Selain itu, menurut Aliff, impian untuk memiliki jet peribadi bukanlah perkara baharu, malah telah lama dipendam dalam diri sejak dahulu lagi.
Malah, katanya, apa yang dikongsi di media sosial hanyalah sebahagian daripada perjalanan hidupnya sebagai seorang usahawan.
“Memang dari dulu saya impikan untuk ada jet sendiri. Bila saya kongsi dalam media sosial, tak sangka ia jadi viral.
“Tapi bagi saya, itu hanyalah kisah kehidupan yang saya nak kongsi. Kalau nak tahu lebih, tunggu Jumaat nanti,” katanya.
Tambahnya, pengurusan dan pembelian jet tersebut bukan satu perkara mudah kerana melibatkan kos yang sangat tinggi selain kerjasama dengan ramai pihak dalam urusan perniagaan.
“Saya hanya berniaga jeruk pun orang pertikaikan. Tapi saya percaya, kalau kita usaha dan konsisten, Allah akan buka jalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Aliff turut mengaitkan kejayaannya itu dengan perniagaan jeruk mangga harumanis yang mula diusahakan secara kecil-kecilan bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan, sejak awal tahun ini.
“Jualan jeruk itu sebenarnya saya buat suka-suka, tapi sambutan luar biasa. Tak sangka daripada jeruk, boleh jana jutaan ringgit.
“Saya berniaga secara dalam talian sahaja, tapi Alhamdulillah, rezeki itu datang tanpa diduga.
“Saya berterima kasih kepada semua pembeli dan penyokong jeruk mangga saya. Walaupun hanya jeruk, tapi maknanya sangat besar buat saya dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, Aliff memuat naik video di Instagram yang memaparkan dirinya bersama isteri dan anak menaiki jet peribadi berwarna hitam, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen.
Dalam perkembangan berkaitan, Aliff turut berkongsi aspirasi baharu untuk mencipta nama dalam Malaysia Book of Records menerusi pencapaian ‘Kutipan Jualan Bag Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung’.
Usaha itu dijadual berlangsung pada 3 Ogos ini, jam 8 malam, menerusi saluran TikTok rasmi beliau, @papalarisofficial.
“Saya akan lancarkan koleksi terbaharu beg tangan iaitu ‘Samma Bag Denim Edition’. Misi saya bukan sahaja berniaga, tetapi juga mencipta rekod negara sebagai inspirasi kepada anak muda bahawa segalanya tidak mustahil,” katanya. -UTUSAN