PETALING JAYA: Ibu kanak-kanak autisme, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dia dipaksa untuk mengaku membunuh anaknya sendiri, Zayn Rayyan Abdul Matin ketika berada dalam tahanan reman selama 13 hari sewaktu siasatan.
Tambahnya, dia ditahan reman oleh pihak polis enam bulan selepas kematian anaknya.
Ismanira berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Haresh Mahadevan pada hari kedua dia memberikan keterangan bela diri.
Katanya, dia dipaksa untuk membuat pengakuan itu selepas pihak polis tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan semasa soal siasat di sebuah banglo yang juga sebuah ‘safe house’.
Ismanira juga dipaksa membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret di sini namun bertindak membuat pengakuan tidak bersalah.
Haresh: Adakah anda memberi kerjasama pada pihak polis semasa mereka jalankan soal siasat?
Ismanira: Ya, saya beri kerjasama yang baik.
Haresh: Dan adakah pihak polis puas hati dengan kerjasama yang anda berikan?
Ismanira: Tidak. Kerana mereka menuduh saya mengarang cerita dan (buat) perkara yang saya tidak lakukan.
Haresh: Apakah cerita yang mereka karang yang anda tidak lakukan?
Ismanira: Mereka (polis) cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu membunuh anak saya sendiri. Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati.
Dalam pada itu, Ismanira juga memberitahu terdapat anggota polis yang bersimpati dengannya.
“Satu golongan mereka bersimpati dan mengatakan yang mereka tahu saya tidak bersalah. Mereka yang bersimpati meminta saya bersabar dan lawan jika perkara tersebut tidak benar, bertahan sampai habis reman.
“Namun satu lagi golongan polis tidak puas hati dan terus menekan saya dengan tuduhan yang saya tidak buat,” katanya.
Ismanira juga berkeras dalam mempertahankan kenyataan bahawa dia tidak pernah membiarkan anaknya bersendirian kecuali waktu bekerja dan sesi persekolahan.
“Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya dan khususnya pada waktu dan masa dalam pertuduhan itu tersebut saya tidak berada di Blok R sepanjang masa dan saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti di dalam pertuduhan.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usia Zayn. Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja. Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan,” katanya.
Semalam, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










