PUTRAJAYA: Institusi pondok di seluruh negara diharap dapat memainkan peranan lebih aktif dalam membantu kerajaan merangka dasar serta memberikan teguran membina berlandaskan ilmu dan hikmah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penglibatan guru-guru pondok dalam perbincangan dan muzakarah bersama pemimpin negara amat penting bagi memastikan pentadbiran negara kekal di atas landasan yang benar dan diredai.
Beliau berkata, platform seperti Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (2025) menjadi wadah terbaik untuk para ulama, khususnya dari institusi pondok, menyuarakan cadangan serta pandangan mereka secara berstruktur dan berterusan.
“Usaha menghimpunkan tokoh-tokoh pondok dari seluruh negara juga membuka ruang kolaborasi antara madrasah dan memperkukuhkan jaringan keilmuan Islam.
“Kalau boleh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga nak lihat tuan-tuan guru pondok ini memainkan peranan untuk memberikan cadangan
kepada kerajaan.
“Kalau ada satu-satu isu itu yang dirasakan perlukan teguran dan perlukan nasihat kepada kerajaan, kita bersedia,” katanya ketika ditemui selepas menutup program muzakarah itu di Masjid Tuanku Zainal Abidin di sini hari ini.
Terdahulu, lebih 200 guru pondok dari 99 buah pondok di seluruh negara berkampung di Masjid Tuanku Zainal Abidin sepanjang muzakarah selama tiga hari berakhir esok.
Beberapa tokoh agama dijemput bagi mengisi program tiga hari itu termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil dan Mudir Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah, Melele, Kedah, Syeikh Mohd Jamil Sadaqi.
Mohd Na’im dalam ucapannya berkata, institusi pondok tidak boleh kekal sebagai institusi kampung semata-mata sebaliknya mesti tampil dengan pendekatan baharu, tanpa meninggalkan roh asal.
Justeru, katanya, beberapa langkah pembaharuan perlu dilakukan termasuk meningkatkan kefahaman guru pondok terhadap wacana ilmu
semasa dan isu global.
“Guru pondok juga perlu mendedahkan pelajar pondok kepada ilmu teknologi, bahasa asing dan asas pentadbiran selain perkukuhkan aspek keselamatan, keselesaan dan jaringan kerjasama institusi pondok,” katanya.
Katanya, ulama pondok juga mesti diberi peranan aktif dalam dasar negara, bukan hanya di masjid dan madrasah, tetapi juga dalam jawatankuasa syura, perbincangan dasar, dan pembangunan masyarakat.
Jelasnya lagi, mereka adalah suara keadilan, perpaduan, dan kebajikan, bahkan teras utama kepada pembinaan Malaysia Madani. – UTUSAN