PUTRAJAYA: Institusi pondok dan pelajarnya diseru menguasai bidang ilmu baharu dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan umat Islam mampu membina tamadun dan berdepan cabaran masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi tetapi antara negara yang merintis perubahan dalam AI.
Beliau berkata, teknologi ini mesti diterap dengan nilai, akhlak dan ilmu agar tidak terjerumus dalam dominasi fahaman asing tanpa asas akidah dan adab Islam.
“Kita nak AI ini teknologinya kita tawan, tetapi isinya mesti dipandu dengan akidah dan akhlak serta menciptakan sahsiah islamiyah,” katanya ketika berucap pada program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, di sini malam ini.
Katanya, kestabilan negara, pemupukan nilai ilmu dan akhlak, serta keterlibatan para asatizah dan ilmuwan pondok dalam sistem pendidikan dan pembangunan teknologi adalah kunci kepada kekuatan umat dan martabat negara.
Jelasnya lagi, negara bukan sekadar pertumbuhan ekonomi atau teknologi baharu, tetapi dibina atas kekuatan akidah, akhlak dan nilai Islam.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa hanya institusi pondok yang masih mampu mempertahankan akidah dan ilmu Islam secara teguh ketika negara-negara Islam lain tunduk kepada sistem penjajah.
“Jika tidak kerana wujudnya institusi pondok yang mengekalkan roh ilmu dan akidah Islam, umat akan lenyap ditelan arus penjajahan yang bukan sahaja menguasai tanah tetapi juga pemikiran dan nilai masyarakat.
“Bayangkan seratus tahun lalu penjajah Inggeris ambil alih, kalau tidak ada pondok dan pesantren hancur iman, ilmu, semangat dan roh perjuangan,” katanya.
Anwar berkata, keadaan sekarang sudah berubah maka, perlu wujud keserasian antara ulama dan umara, serta keperluan menguasai disiplin ilmu baru tanpa meninggalkan asas tradisi keilmuan lama. – UTUSAN