Insiden Putra Heights: Kerajaan Selangor tidak campur tangan siasatan

Insiden Putra Heights: Kerajaan Selangor tidak campur tangan siasatan

AMIRUDIN SHARI dalam sidang akhbar perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan, pihaknya tidak pernah masuk campur dalam siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, sebaliknya siasatan dibuat secara bebas dan telus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam kes berkenaan, kerajaan negeri hanya bertindak sebagai saksi.

Beliau berkata, pihaknya akui ada pihak yang mempertikai laporan penuh siasatan itu, malah turut mendakwa fakta siasatan diputar belit.

“Kerajaan negeri tidak terlibat langsung, malah mereka (pasukan penyiasat) memanggil kami sebagai saksi dan semua saksinya ada 212 orang.

“Antara saksi dipanggil termasuk pihak berkuasa tempatan, pemaju projek berdekatan, pengawal keselamatan, pengendali jengkaut dan pegawai PETRONAS.

“Kalau nak tengok secara teliti (laporan siasatan) boleh semak. Tak perlu lah nak buat (siasatan) lagi A to Z dan kita tak perlukan lapan bulan lagi kan?” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) yang tidak berpuas hati dengan insiden letupan itu yang diklasifikasi sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), malah mendesak siasatan disemak semula.

Pada masa sama, Amirudin berkata, laporan penuh hasil siasatan insiden itu akan dibuka kepada umum untuk semakan selepas mendapat kebenaran pihak bertanggungjawab.

“Mereka (pihak yang tidak berpuas hati) boleh semak dan kenal pasti siapakah pihak yang bertanggungjawab. Di situ ada gambaran siapa pihak yang bertanggungjawab.

“Kita tak boleh lah nak anggap semua benda ini semua ada orang yang mengganggunya (ganggu dan masuk campur siasatan). Persepsi tidak boleh dibuktikan secara tepat dan secara santifik,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, kes insiden letupan paip gas di Putra Heights diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas tiada menemui sebarang unsur jenayah atau sabotaj dalam kes itu.

Selain itu, Kerajaan Selangor juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti laporan siasatan lengkap insiden letupan paip gas itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN