BALIK PULAU: Individu yang ingkar untuk membayar nafkah anak selepas perceraian kini berdepan tindakan tegas termasuk risiko pembekuan aset serta disekat pendapatan bagi memastikan perintah Mahkamah Syariah dipatuhi sepenuhnya.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Amran Mat Zain berkata, langkah itu telah dilaksanakan sejak dua atau tiga tahun lalu susulan beberapa pindaan undang-undang yang membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pesalah.
“Pelbagai kaedah telah diperkenalkan bagi menyekat ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah ini termasuk sekatan terhadap pendapatan, pelaksanaan prosedur hiwalah (pengalihan pembayaran) dan pembekuan aset untuk disalurkan semula kepada pihak yang berhak.
“Jika sebelum ini ada pihak yang melepaskan diri daripada tanggungjawab membayar nafkah, kini, kita ambil langkah yang lebih efektif bagi memastikan setiap keputusan Mahkamah Syariah dihormati dan dipatuhi,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Program Literasi Syariah Madani 2025 yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid di Masjid Daerah Barat Daya, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Amran, perintah Mahkamah Syariah bukan sekadar dokumen di atas kertas, tetapi, ia adalah satu arahan undang-undang yang mempunyai implikasi besar sekiranya tidak dipatuhi.
“Bagi memperkukuh lagi pelaksanaan di peringkat lapangan, JKSM turut mempunyai Bahagian Sokongan Keluarga yang berperanan mengesan dan memantau pelaksanaan perintah nafkah serta memberikan bantuan kepada pihak yang teraniaya,” ujar beliau.
Mohd. Amran berkata, masyarakat juga perlu meningkatkan kesedaran tentang hak masing-masing dalam perundangan syariah kerana masih ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh membuat tuntutan secara sah melalui saluran yang betul.
“Program seperti literasi perundangan Syariah amat penting dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai ruang, peluang dan kaedah untuk menuntut hak nafkah anak secara adil dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd. Amran berkata, Mahkamah Syariah bukan sekadar tempat menghukum sebaliknya perlu menjadi tempat menyantuni, menyelesaikan pertikaian dan memberikan keadilan sepenuhnya kepada masyarakat.
“Berdasarkan pengalaman kita, masih ramai yang hadir ke mahkamah dalam keadaan keliru dan emosi, tanpa memahami proses yang perlu dilalui.
“Proses di Mahkamah Syariah sebenarnya teratur dan tersusun, namun ia hanya berfungsi dengan baik jika masyarakat faham dan tahu hala tuju mereka,” katanya. – UTUSAN