‘Industri seni ini, tidaklah seindah yang disangka' - Utusan Malaysia

‘Industri seni ini, tidaklah seindah yang disangka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedekad yang lalu, pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi melangkah masuk ke dalam industri hiburan tanah air dengan membawa lembaran kain putih yang suci.

Tekadnya, hanya mahu mencorakkan setiap sudut kain itu dengan kisah hidupnya yang dipenuhi pelbagai warna indah selain terfikir dirinya cukup kuat untuk menempuhi asam garam sebagai selebriti.

Namun setelah namanya terpalit dengan pelbagai kisah sensasi, kain yang dulu suci kini sudah tercemar malah, figura yang lebih mesra dikenali sebagai Nadia Brian itu mengakui dirinya tidak sekental yang dikira.

“Suatu ketika dahulu, sebelum melangkah masuk ke dalam industri saya merasakan diri saya sudah cukup kebal. Tetapi tidak, adakalanya kata-kata dan kecaman manusia itu terlalu menyedihkan.

“Saya juga pernah jatuh malah, hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya ini. Dalam erti kata lain, merajuk.

“Apabila usia sudah semakin meningkat, saya mahukan kehidupan yang lebih tenang. Jadi, langkah terbaik yang saya boleh lakukan hanyalah merawat diri setiap hari demi mendapat kebahagiaan.

“Saya cuba ubah pemikiran saya dengan tidak mengharapkan sebarang pujian mahupun balasan. Pada akhirnya, inilah realiti kehidupan dalam industri hiburan. Dia tidaklah seindah disangka, tetapi tidaklah seburuk diduga,” katanya.

GOLONGAN ‘TERPALING SYURGA’ LUPA KARMA ITU WUJUD 

Bagai sudah lali dengan segala kecaman dan kontroversi, kematangan Nadia kini menjadikan dirinya seorang yang lantang dalam memberikan pendapat berkenaan isu semasa yang melibatkan industri seni.
Cakna sejak kebelakangan ini ramai rakan seindustri teruk dihentam dengan tuduhan yang tidak berasas di media sosial, Nadia berharap perkara itu tidak mematahkan semangat, emosi dan mental mereka untuk terus perjuangkan kebenaran.

“Sebagai anak seni, saya melihat isu buli siber ini sangat menyedihkan dan tidak sihat. Syukur ramai kenalan artis yang sudah mula sedar dan berani menyuarakannya.

“Mungkin mereka tidak sedar setiap fitnah yang dilemparkan di media sosial itu boleh menjadi bukti bagi segelintir selebriti untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara itu menjatuhkan maruah dan mengganggu mentalnya.

“Mereka mungkin seronok mengaitkan kisah-kisah kontroversi selebriti dan menambah api sesama mereka. Tetapi golongan ‘terpaling syurga’ ini mungkin lupa bumi ini berputar, karma itu wujud,” katanya.

Nadia yang juga antara mangsa buli siber sebelum ini mengakui perkara itu sukar untuk dikawal kerana pengguna media sosial era kini semakin agresif mahu membuktikan siapa yang lebih bijak dalam menghakimi.

Namun, Nadia berpendapat setiap selebriti juga berhak untuk bertindak sekiranya perkara yang dilemparkan terhadapnya itu bersifat keterlaluan sehingga boleh menjatuhkan nama baik mereka.

“Saya percaya setiap orang mempunyai had kesabarannya. Baik orang biasa mahupun golongan selebriti. Kadang-kadang bila kita diam, mereka lebih suka menghentam. Orang kata, sarang tebuan jangan dijolok.

“Pada saya tidak salah jika ada sesetengah selebriti mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kecaman yang diterima. Mungkin perkara itu sudah menjejaskan maruah atau mengganggu orang di sekelilingnya.

“Mengambil tindakan undang-undang bukanlah satu ugutan terhadap penyebar fitnah tersebut sebaliknya itu langkah yang sewajarnya untuk mangsa lakukan demi mempertahankan diri mereka,” tambahnya.

TIADA RUANG UNTUK SALING MENJATUHKAN

Sepanjang dalam industri seni, Nadia bersyukur dirinya dikelilingi insan yang saling menyokong kejayaannya sebagai penggiat seni baik keluarga, mahu pun rakan seperjuangan.

Menurut Nadia, dirinya sering menutup rapat jurang yang cuba untuk meruntuhkan hubungan baiknya bersama orang di sekililingnya terutamanya rakan selebriti.

“Seperti yang kita tahu, industri seni ini tidak begitu luas. Saya tidak akan memberi sedikit ruang untuk orang melaga-lagakan antara saya dengan kawan-kawan industri.

“Sekiranya perkara itu berlaku, saya sendiri akan bertindak untuk boikot atau menyekat mereka yang cuba mahu menjatuhkan hubungan baik saya dengan seseorang selebriti.

“Namun, setakat ini setahu saya tiada pihak yang cuba melaga-lagakan saya dengan sesiapa. Saya percaya setiap rezeki itu Allah sudah tentukan. Ruang itu juga saya sudah tutup rapat, mustahil ada yang mahu menjatuhkan,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya bersetuju budaya saling menjatuhkan sesama penggiat industri ini terus dipraktikkan, Nadia menganggap perkara itu sangat memalukan dan tidak matang.

Katanya, setiap penggiat seni juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dan perkara itu seeloknya dihentikan demi menjaga keharmonia industri hiburan tanah air.

“Bagi saya, tindakan mereka yang cuba menjatuhkan sesama sendiri dalam industri ini sangat memalukan. Budaya seperti ini perlu dihentikan kerana siapa lagi yang mahu menjaga kesejahteraan industri seni kalau bukan dalam kalangan penggiatnya.

“Mungkin perkara ini bukan berlaku dalam industri hiburan sahaja, industri lain juga melalui perkara yang sama. Namun, setiap orang perlu menjadi lebih matang dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Tidak perlu saling menjatuhkan kerana rezeki itu di tangan Tuhan. Tindakan itu hanya merugikan dirinya sendiri yang pada akhirnya membuatkan kita susah untuk berjaya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN