Ibu Tishant dihantar ke hospital untuk rawatan

Ibu Tishant dihantar ke hospital untuk rawatan

KHAIRIN-NISA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu kepada mendiang A. Tishant, 6, dipercayai cuba membunuh diri akibat terlalu sedih dan trauma akibat kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail ketika dihubungi memberitahu, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dihantar untuk memberi bantuan psikologi kepada keluarga mangsa.

“Ya, semalam kami telah hantar wakil JKM untuk beri bantuan kepada keluarga mangsa tetapi mereka menolak bantuan yang hendak diberi.

“Kami juga difahamkan ibu Tishant cuba untuk membunuh diri dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya sedang menunggu laporan perubatan untuk memberikan bantuan psikologi dan lain-lain sokongan kepada keluarga mendiang Tishant.

Pada 24 Julai lalu, kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri dan susulan itu bapanya ditahan bagi membantu siasatan.

Polis menjumpai mayat kanak-kanak berkenaan yang telah ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan empat hari kemudian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof semalam memaklumkan, punca kematian Tishant disebabkan tekanan pada bahagian leher mangsa akibat jerutan dengan pengikat kabel.

Siasatan awal mendapati suspek yang juga bapa kepada kanak-kanak itu sedang berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses berpisah dengan isterinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN